MAHASISWA MELAYU: ANTARA CABARAN DAN ANCAMAN


<<< Ini satu-satunya buku yang dikeluarkan bagi membincangkan masalah dan perancangan sistematik bagi mengatasi kelemahan akademik mahasiswa Melayu di IPT.

Tidak semua perpustakaan IPT ada buku ini.  Yang ada pun diletakkan di bahagian "Red Spot" - menunjukkan betapa lemahnya minda dan penakutnya jiwa Melayu di Malaysia ini (nak bincang masalah bangsa sendiri pun tak berani)

Apapun buku ini adalah satu bacaan terbaik dan ianya menjadi asas kepada penulis dalam menggerakkan kerja-kerja Komuniti Al-Ansar


1.1 PENGENALAN

Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH dan MAHA PENYAYANG…


50 tahun yang lalu hanya ada sebuah universiti di Malaysia iaitu Universiti Malaya.  Peluang belajar di menara gading pada masa itu adalah satu impian dan harapan untuk anak-anak muda.  Mereka yang terpilih adalah yang terbaik.  Tamat pengajian tidak perlu menunggu lama untuk mendapat pekerjaan.  Ada kalanya tawaran pekerjaan melebihi permintaan.

Hari ini, di abad yang ke-21 suasana sudah berubah.  Telah wujud ‘demokrasi pendidikan’ di mana semua orang berhak dan berpeluang untuk belajar di peringkat tertinggi dalam negara kita.  Dengan berbelas IPTA, Kolej Universiti dan beratus IPTS  yang wujud, mahu atau tidak menjadi penentu.  Tidak timbul lagi tentang keistimewaan orang Melayu di dalam bidang pendidikan kerana semua kaum sudah boleh memperolehinya.   Selebihnya, wang menjadi ukuran.  Malahan pembelajaran hari ini lebih fleksibel samada secara sepenuh masa ataupun separuh masa. 

Walaupun nisbah komposisi bumiputra dan bukan bumiputra dalam negara adalah 6:4, ianya tidak berkesinambungan dengan nisbah pelajar di pusat pengajian tinggi.  Menurut Sulaiman (2001), terdapat lebih kurang 120,000 pelajar bumiputra dan 400,000 pelajar bukan bumiputra di dalam sistem IPT negara.  Manakala di luar negara, terdapat lebih kurang 20,000 pelajar bumiputra dan 80,000 pelajar bukan bumiputra.  Ini bermakna nisbah pelajar bumiputra dengan bukan bumiputra adalah 1:4.  Untuk jangka masa panjang ianya akan memberi satu bentuk ketidakseimbangan dalam pengagihan ekonomi antara kaum dan berupaya menggugat kestabilan politik dan sosial negara.

Peluang cukup terbuka dengan meluasnya kepada anak Melayu untuk belajar.  Tiga cara untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda iaitu samada lepasan STPM, Matrikulasi ataupun diploma. 

Sebahagian besar mahasiswa Melayu beranggapan menjejakkan kaki ke universiti sudah membuktikan mereka telah berjaya dalam hidup walaupun hakikatnya tidak.  Berjaya masuk universiti bukan bermakna kita akan berjaya keluar universiti dengan cemerlang dan mendapat pekerjaan semudah 40 tahun  yang lalu.  Tiga tahun proses pembelajaran di universiti akan menentukan cemerlang atau gagalnya kita.  Ia bergantung kepada usaha, sikap dan strategi pembelajaran yang diamalkan.        



Prestasi Keseluruhan
Tahun
Kelas
Bumiputera (%)
Bukan Bumiputera (%)
1995
Kelas Satu
Kelas Dua Atas
0.32
19.9
2.11
19.02
1997
Kelas Satu
Kelas Dua Atas
0.40
21.12
2.56
21.67
1999
Kelas Satu
Kelas Dua Atas
0.11
17.94
1.16
21.06
 Jadual 1 : Peratus Pencapaian Pelajar Bumiputra dan Bukan Bumiputra 
 
(Sumber: Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia -2001)

 Merujuk  kepada jadual di atas sudah cukup menunjukkan betapa seriusnya masalah pencapaian mahasiswa Melayu di pusat pengajian tinggi.  Dan ianya lebih ketara di bidang-bidang sains dan teknologi. Bagaimanakah mahasiswa Melayu ingin bersaing di pasaran kerja jika keputusan akademik mereka tidak memuaskan seperti ini?

1.2 FAKTOR PRESTASI LEMAH MAHASISWA MELAYU

Hassan (2001) telah menyenaraikan 7 faktor punca kelemahan prestasi mahasiswa Melayu di pusat pengajian tinggi iaitu:
i.                    para pelajar mempunyai asas akademik yang rendah semasa memasuki IPTA.
ii.                  para pelajar tidak mempunyai penguasaan bidang kuantitatif yang tinggi dalam bidang statistik, matematik dan sains.
iii.                kemahiran dalam berbahasa Inggeris juga lemah di kalangan pelajar Melayu
iv.                 kaedah pembelajaran yang digunakan oleh pelajar Melayu tidak sistematik dan tekal
v.                   motivasi pelajar Melayu lemah
vi.                 kurang daya saing dan daya juang di kalangan pelajar Melayu
vii.               mempunyai sikap dan budaya “cukup makan” serta rasa selamat.

Menurut Abdul Samad (2001), pelajar Melayu tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas sekiranya ibu bapa atau orang lain tidak melakukannya untuk mereka.  Mereka juga dilihat sebagai tidak dinamik dan tidak sanggup bersaing dan suka mengambil jalan mudah.  Kebanyakan punca kelemahan pelajar Melayu ialah tidak pandai untuk mengutamakan kepentingan (priority) yang mana lebih penting dalam melakukan sesuatu gerak kerja dan aktiviti.

Seterusnya Abdul Samad (2001) menyenaraikan beberapa faktor kelemahan mahasiswa Melayu seperti berikut:
i.                    sikap tidak mengutamakan kecemerlangan, sekadar lulus cukup makan, kurang pengetahuan am dan isu semasa serta sering mengamalkan budaya ‘last minute’.
ii.                  kurang minat untuk berinteraksi dengan pensyarah.
iii.                kurang keyakinan diri, mudah terpengaruh budaya negatif  dan melepak.
iv.                 kurang menjaga kesihatan, pemakanan serta kuat merokok.
v.                   hidup berkelompok dan kurang berkemahirang berbahasa Inggeris
vi.                 kurang mengaplikasi teknologi maklumat

Sidek (2001) pula menyatakan kaitan faktor genetik, persekitaran, budaya, sikap kebergantungan, orientasi hidup pola psikik, tekanan (stress) dan pelbagai lagi.  Secara spesifik ianya terbahagi kepada tiga iaitu:
i.                    akar masalah – genetik, persekitaran keluarga, teknik belajar, sosio ekonomi, kualiti makanan, kualiti pensyarah, budaya kerja, kaedah pengajaran-pembelajaran, pemantauan pelajar bermasalah, distraksi diri, kekuatan dalaman, daya saing dan daya tahan, sindrom kebergantungan, rasa selesa dan cukup hidup.
ii.                  berbanding – kecemerlangan pelajar cina sebagai dasar ikutan positif
iii.                natijah pendidikan – satu transformasi diri

Rosliza et al. (2001) menyatakan prestasi terdahulu dalam subjek berkaitan, pendedahan awal, sikap, usaha dan tahap motivasi memberi impak kepada prestasi mahasiswa.

Latif (2001) menyenaraikan faktor nilai keluarga dan diri dalam pembinaan insan.  Secara spesifik disenaraikan kepada tiga bahagian iaitu:
i.                    faktor diri – aspirasi kepada pelajaran, dorongan diri dan cita-cita
ii.                  faktor kekeluargaan – hubungan kekeluargaan, latar belakang kewangan dan pendidikan ibubapa.
iii.                faktor nilai – ketaatan kepada agama, ibubapa dan ketrampilan diri.

Latif (2001) juga menemui dalam soal selidiknya di mana majoriti responden menjadikan permasalahan mereka ialah ruang yang tidak mencukupi semasa kuliah, ruang amali yang tidak cukup, jumlah peralatan di dalam makmal tidak lengkap dan tidak mencukupi, terlalu ramai pelajar di dalam satu-satu kuliah dan pengajar tidak bersungguh-sungguh untuk mengajar.
Aminah (2001) pula menyatakan kelemahan mahasiswa Melayu dipengaruhi faktor kemahiran belajar, harapan keluarga yang terlalu tinggi, kurang fasih berbahasa Inggeris, tidak upaya hadapi tekanan belajar di universiti dan kurang kemahiran berfikir yang secara kritikal dan kreatif.

Haris (1996) memperkenalkan Budaya Rumah, Budaya Sekolah dan Budaya Masyarakat yang mempengaruhi pencapaian khususnya anak-anak Melayu.  Perlu diberi penekanan kepada keyakinan terhadap kebolehan diri, yakin kepada kebenaran diri dan bersikap positif terhadap masa depan bangsa.

Pada pandangan penulis pula, masalah mahasiswa Melayu terbahagi kepada dua iaitu masalah dalaman dan juga luaran.  Ianya adalah seperti berikut:
a. Masalah Dalaman 
i.                    Sikap (malas, tidak serius, tiada keyakinan, tidak letak kepentingan)
b. Masalah Luaran (4K)
i.                    Kekasih – bercinta hingga lupa tanggungjawab sebagai pelajar.
ii.                  Kawan-kawan – salah memilih kawan yang berperibadi negatif.
iii.                Kewangan – pinjaman lambat dan salah guna pinjaman/biasiswa
iv.                 Kesihatan – gangguan kesihatan menganggu proses pembelajaran.


 1.3 TINDAKAN

Hassan (2001) menyenaraikan 8 tindakan yang perlu diambil bagi memulihkan prestasi mahasiswa Melayu di pusat pengajian tinggi seperti berikut:
i.                    perlu ada pendemokrasian dalam pendidikan seperti mengadakan pendidikan jarak jauh, system fleksibel dan sebagainya.
ii.                  beri penekanan terhadap teknologi untuk meningkatkan penggunaan maklumat bagi merangsang pengetahuan baru (keilmuan dan inovasi)
iii.                perlu memperbanyakkan penyelidikan (4th generation R&D)
iv.                 peningkatan keupayaan dalam pengurusan pendidikan tinggi selaras dengan perkembangan teknologi dan globalisasi.
v.                   perlu adakan satu bentuk kerjasama atau penggabungan di antara IPTA dan IPTS.
vi.                 menghasilkan graduan yang berkualiti dari segi ko-korikulum, kemahiran komunikasi dan pencapaian akademik.
vii.               mengadakan pemantauan yang berkesan, mengadakan sistem mentor/mentee, memupukkan semangat daya saing, bimbingan dan kaunseling
viii.             Kementerian Pendidikan perlu melaksanakan beberapa perkara antaranya mewujudkan pusat kecemerlangan, memantapkan pengurusan pendidikan tinggi, mekanisma bantuan kerajaan yang berkesan dan pembentukan badan penjamin kualiti. 

Abdul Samad (2001) pula menyenaraikan 7 langkah yang perlu diambil tindakan iaitu:
i.                    struktur organisasi Jabatan HEP yang sedia ada perlu rombak/ disusun semula dan dimantapkan untuk membolehkan pihak IPTA perlu merancang, mengurus dan memantau program-program kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
ii.                  Jabatan Akademik yang sedia ada di IPTA memperkenalkan langkah tambahan yang sesuai bagi membantu pelajar Melayu mempertingkatkan kecemerlangan akademik.
iii.                meminta pihak fakulti dan kolej kediaman merancang program yang memberikan tumpuan utama terhadap kegiatan-kegiatan berorientasikan akademik, pembinaan sahsiah pelajar dan jati diri pelajar Melayu.
iv.                 membina jaringan kerjasama dan perkongsian pintar (smart sharing) dengan pihak industri dan NGO’s untuk melaksanakan program-program kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah pelajar Melayu secara kolektif.
v.                   memperkenalkan sistem ganjaran/pengiktirafan yang baru dan lebih inovatif supaya merangsang pelajar Melayu lebih berusaha mempertingkatkan kecemerlangan secara berterusan dan menyeluruh.
vi.                 meminta pihak Biro Tatanegara (BTN) merancang program-program kepimpinan dan pembinaan sahsiah pelajar Melayu dan membuka peluang yang lebih luas kepada golongan ini untuk menyertainya.
vii.               meminta Kementerian Pendidikan menambahkan peruntukan kewangan kepada IPTA untuk membolehkan lebih banyak program pembangunan pelajar dapat dirancang dan diaturkan, termasuk program-program baru berbentuk ICT, k-ekonomi dan sebagainya.  Usaha mengangkat martabat pelajar Melayu di IPTA merupakan salah satu agenda besar bangsa yang tiada hentinya.

Isahak (2001) mencadangkan 3 langkah untuk memperbaiki kualiti dan prestasi mahasiswa Melayu di IPTA:
i.                    langkah untuk menambah bilangan dan kualiti pelajar Bumiputra yang masuk ke program pengajian ijazah IPTA.
ii.                  langkah yang boleh diambil oleh IPTA untuk memperbaiki pembelajaran dan prestasi pelajar Bumiputra yang berada di IPTA sekarang.
iii.                langkah jangka panjang yang perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar Bumiputra di sekolah rendah dan menengah, terutama dalam mata pelajaran matematik, sains dan Bahasa Inggeris. 

Isahak (2001) juga mencadangkan 10 jalan penyelesaian jangka pendek yang boleh dilaksanakan oleh IPTA:
i.                    pelajar Bumiputra yang lemah terutama dalam program Pengajian Sains dan Teknologi diberi bantuan dengan mengadakan kelas bimbingan khas.
ii.                  menguatkuasakan secara serius perlaksanaan Penasihat Pelajar di Fakulti dengan mewajibkan pelajar yang lemah dipantau, dinasihat dan dibimbing sepanjang masa.
iii.                meningkatkan keberkesanan penyediaan kursus, penyampaian, dan penilaian kursus melalui pelaksanaan Manual Penjaminan Kualiti Program Pengajian.
iv.                 memperkemaskan Perkhidmatan Sokongan seperti Kaunseling (mentor-mentee) dan kumpulan belajar (study group).
v.                   menyediakan kemudahan pinjaman untuk pelajar Bumiputra membeli komputer.  Misalnya penaja memperuntukkan pinjaman beli komputer kepada pelajar tajaan masing-masing.
vi.                 menambah tempat penginapan asrama di universiti.
vii.               mengadakan kajian lanjut yang menyeluruh tentang prestasi pelajar Bumiputra di Fakulti Sains dan Teknologi seperti menubuh jawatankuasa untuk mengkaji prestasi pelajar di Fakulti Kejuruteraan dan lain program pengajian.
viii.             mewujudkan budaya belajar secara berkumpulan dan bekerjasama yang menekankan rangkaian (networking) dan kerjasama (cooperation) di kalangan pelajar Bumiputra.
ix.                 menggalakkan pelajar Bumiputra yang lemah untuk mengambil bilangan jam kredit yang minimum (rendah) sahaja.  Misalnya 15 jam kredit dan bukan 18 jam kredit.
x.                   Penempatan pelajar Matrikulasi ke IPTA hendaklah dibuat secara berpusat dan tidak mengikut pilihan calon.  Calon hanya memilih program pengajian, tetapi bukan memilih IPTA tertentu

Latif (2001), menyatakan bahawa faktor nilai, diri dan keluarga bukanlah perkara utama yang mempengaruhi pencapaian akademik, maka tumpuan harus dilihat dari segi kemudahan fizikal yang disediakan oleh faktor pengajar itu sendiri.
 
Aminah (2001) telah menyenaraikan 9 langkah segera melalui saluran pendidikan:
i.                    pelajar Melayu perlu diberi galakan dan pengetahuan untuk meningkatkan pencapaian akademik supaya boleh menembusi bidang pekerjaan yang lebih berprestij dan professional.  Sebarang bantuan harus diberikan supaya memastikan anak Melayu yang baik akademiknya dapat mengikuti pendidikan di peringkat tertinggi.
ii.                  pelajar Melayu perlu menukar minda, belajar teknik berfikir yang kritikal dan kreatif serta harus ada minda waja dan minda berdikari.
iii.                pelajar Melayu perlu mempunyai sikap yang positif dan keyakinan diri yang tinggi.  Perasaan rendah diri (inferior complex) wujud kerana pelajar Melayu berasa diri lemah berbanding dengan pelajar bukan Melayu.  Jika pencapaian akademik ditingkatkan, ciri-ciri ini akan dapat dihapuskan.
iv.                 pelajar Melayu tidak mempunyai matlamat hidup, oleh itu mereka mesti dibantu untuk berubah minda.
v.                   pelajar Melayu perlukan lebih banyak bahan-bahan bacaan latihan sebagai sumber pembelajaran.
vi.                 pelajar Melayu perlu belajar teknik belajar yang betul.
vii.               pelajar Melayu perlu mahir dalam Bahasa Inggeris.
viii.             pelajar Melayu perlu mahir IT.
ix.                 pelajar Melayu perlu tingkatkan pencapaian Sains dan Matematik terutamanya Matematik Tambahan.

Aminah (2001) juga menyarankan agar mentaliti subsidi dan makan gaji diubah, supaya orang Melayu boleh buka industri sendiri, boleh menggaji orang Melayu lain bekerja, dan tidak bergantung kepada kerajaan.  Orang Melayu harus cepat berubah, berani menghadapi cabaran dan sentiasa belajar mempertingkatkan diri dalam ilmu dan kemahiran IT.  Orang Melayu harus digalakkan untuk membantu orang Melayu yang lain dan membanyakkan ‘fisabilillah’, membantu dengan sukarela.  Bangsa asing amat sayangkan bangsanya dan sanggup berkorban tenaga dan harta untuk memastikan bangsanya maju.  Bangsa asing dapat berkembang walaupun tidak ada wang atau subsidi kerajaan dalam semua bidang kerana mereka mengamalkan konsep ‘fisabilillah’, dalam membangunkan bangsa sendiri.  Jika mereka tidak boleh bantu dengan wang, mereka akan bantu dengan tenaga dan kepakaran.  Dengan itu mereka maju.  Selain itu program motivasi perlu diberikan secara berterusan dan bukan sekadar ceramah sebaliknya dengan mempelbagaikan aktiviti.  Sebagai contoh adalah dengan mengaplikasikan Hirarki Maslow dalam memotivasikan mahasisiwa Melayu ini.

Pada pendapat penulis pula, ada beberapa tindakan dan juga strategi yang boleh digunakan dalam mengatasi masalah mahasiswa Melayu di IPTA.  Penumpuan perlu diberikan di akar umbi iaitu gerakan pelajar itu sendiri dalam merealisasikan revolusi kemajuan akademik mahasiswa Melayu Muslim.  Walaubagaimanapun tindakan dan strategi tersebut akan penulis bincangkan  secara terperinci pada bab yang seterusnya.          

















BACAAN TAMAT